Sunday, May 14, 2006

Jangankan nasi menjadi hangus: Lokasi Agama Dalam Ideologi Negara

Oleh Kartini


Berdasarkan pemantauan kerajaan Malaysia bagi tahun 2000, 60.4 peratus populasi di Malaysia dikatakan adalah penganut Islam, 19.2 peratus adalah Buddha, 9.1 peratus penganut Kristian, 6.3 peratus adalah penganut Hindu dan 2.6 peratus lagi adalah penganut Konfusianisme, Taoisme dan agama-agama tradisional Cina. Selainnya merupakan penganut-penganut Sikh, Baha’i dan lain-lain yang tidak tersenarai. Tetapi, dari senarai di atas, Buddha, Konfusianisme, dan Taoisme bukanlah agama, tetapi falsafah yang berpusatkan manusia dan alamnya. Sikh dan Baha’i pula merupakan fahaman yang berdasarkan tok guru yang telah mempopularkan ajaran mereka sehingga menjadi satu agama. Tetapi, berdasarkan pandangan berciri materialis, agama muncul disebabkan ketidakpuasan dengan ketidakadilan dan kejahilan dalam masyarakat.

Mengikut Stephen Hunt dalam bukunya Religion and Everyday Life, sumber emosi yang mencirikan pengamalan ritual dalam agama merupakan perasaan yang dialami oleh manusia ‘primitif’ dalam kehadiran sesuatu yang dianggap mistikal dan misterius yang telah diberikan nama “mana”, sebuah perkataan Polynesian. Mana membawa maksud rasa gentar yang bercampur-aduk dengan rasa takjub terhadap alam duniawi dan fenomena yang wujud dalamnya. Berdasarkan tafsiran sedemikian, kita boleh misalkan falsafah manusia yang bercirikan ajaran kehidupan, yang tidak berdasarkan deity mahupun tuhan, juga adalah agama. Maka, semua yang diperihalkan di atas boleh diklasifikasi sebagai agama. Juga, biasanya penganutan agama-agama ini di Malaysia dihubung-kaitkan dengan pecahan kumpulan-kumpulan kaum dan etnik. Apa yang biasanya hilang dari wacana sebegini ialah kecairan dan kompleksiti sesuatu agama yang mempunyai mazhab-mazhab berbeza, dan juga penganut-peganutnya yang tidak boleh diacukan dengan jelas mengikut kaum.

Menurut laporan Biro Demokrasi, Jabatan Hak Asasi Manusia dan Buruh kerajaan Amerika Syarikat yang bertajuk “International Religious Freedom Report 2003”, kebanyakan penganut agama yang lain dari Islam menduduki Malaysia Timur dan pusat-pusat bandar. Malaysia Timur mempunyai paling ramai etnik bergelar bumiputera yang menganuti agama Kristian, disebabkan populasi mereka yang kebanyakannya tertumpu di situ, walaupun proses penghijrahan telah membawa mereka ke Semenanjung. Latar ini akan menjadi penting apabila saya membincangkan tentang layanan kerajaan Semenanjung terhadap kaum bumiputera bukan Islam ini.

Pada 30hb Oktober 2005, akhbar New Straits Times telah menerbitkan satu artikel yang melaporkan apa yang telah berlangsung dalam Persidangan Ketujuh Persekutuan Kristian Malaysia (Christian Federation of Malaysia atau CFM), di mana ahli-ahli persidangan telah membincangkan kebimbangan mereka terhadap kekurangan perpaduan antara kumpulan-kumpulan masyarakat di Malaysia. Adakah sekarang masanya untuk semua pertubuhan agama di negara ini keluar dari persembunyian mereka dan mula menyuarakan sesuatu tentang penyakit yang menular di kalangan bangsa Malaysia? Kebanyakan mereka yang terlibat dalam aktivisme keagamaan biasanya tidak bisa campur tangan dalam hal berkenaan kekuasaan sesebuah negara.

Sejarah menunjukkan bahawa agama tidak lari dari persengketaan politik, tidak kira sama ada agama itu mempunyai struktur politik yang jelas, seperti dalam Islam, mahupun tidak. Sejarah menunjukkan bahawa teokrasi pernah wujud dalam peradaban manusia, dan penganutan sesuatu agama ada kaitannya juga dengan faedah yang boleh diperolehi oleh masyarakat tersebut.

Sekatan dan tindakan-tindakan yang dikatakan melampaui batasan hak individu/masyarakat juga menyebabkan kecurigaan sesama kumpulan dalam pergaulan sesama mereka. Hak penganut-penganut agama lain kurang dipedulikan.
Mereka yang melantik diri sendiri sebagai pengawal moral ummah mengamalkan kaedah-kaedah yang merendahkan kemampuan berfikir penganut-penganut Islam, antaranya menerusi penggubalan pelbagai fatwa dan perundangan yang bertujuan mengawal dan menekan mereka agar berkelakuan mengikut agenda dan ideologi pengawal-pengawal itu sendiri.

Kita ambil contoh perkahwinan antara penganut agama yang berlainan. Di Malaysia, perkahwinan antara umat Islam dengan bukan Islam, walaupun dengan penganut agama Kristian yang dianggap Ahli Kitab, tidak dibenarkan di sisi undang-udang. Maka, kemajmukan dan pluralitas yang sering disebut-sebutkan itu akan kekal di hujung lidah, tidak dapat dipraktikkan secara lebih mendalam. Saya akur bahawa terdapat banyak masalah yang dapat timbul antara perkahwinan antara dua insan yang beragama berbeza, terutamanya jika kedua-dua insan itu berpegang kuat pada agama masing-masing tanpa berkompromi. Secara luaran, kebanyakan agama yang bersifat monotheistic memang tidak banyak memberi ruang untuk berkompromi. Tetapi, adakah hakikatnya memang begitu, atau itu hanya tafsiran yang telah menjadi dominan pada akhir-akhir zaman ini?

Berkaitan dialog antara agama yang sedia diadakan secara kecil-kecilan dan sedang digalakkan di Malaysia, adakah ia sememangnya dapat menambahkan kefahaman dan empati di kalangan penganut-penganut agama yang berbeza-beza, atau adakah ia hanya merupakan satu cara untuk tidak mendepani isu-isu yang dianggap ‘sensitif’? Siapakah yang menentukan samada sesuatu isu itu adalah sensitif atau tidak? Adakah dengan mengelak isu-isu yang telah ‘disenaraihitamkan’ hanya merupakan satu alasan untuk tidak perlu berhadapan dengan duri-duri paradoks yang sememangnya wujud dalam sebarang agama. Maka, apa yang diwujudkan ialah satu sifat toleransi yang mempunyai konotasi pejoratif, yang menunjukan kepada kemungkinan berlaku letusan dan perbalahan sesama penganut-penganut agama apabila dilemparkan kritikan (walaupun kritikan yang tidak seserius mana, tetapi dianggap cukup serius oleh hanya beberapa individu). Keengganan untuk melihat dan mendepani isu-isu yang menjadi punca perbezaan pendapat atau kecurigaan secara bertanggungjawab akan terus menghalang perpaduan yang tulen dari terbentuk. Kedaifan kebanyakan orang-orang Islam negara ini untuk memahami agama-agama lain, dan juga umat agama-agama lain untuk memahami Islam, membentuk persepsi-persepsi yang menyeleweng berkenaan agama-agama yang bukan agama mereka. Mereka, khususnya umat Islam, yang enggan mengakui kejahilan diri, atau merendahkan hati untuk lebih memahami akidah dan dasar-dasar dalam agama-agama lain, telah menjadi rintangan kepada tercapainya dialog antara agama dengan jayanya. Penganut agama-agama lain juga takut untuk mengkritik apa yang mereka lihat sebagai masalah dalam Islam, samada itu benar-benar masalah, ataupun hanya masalah dalam amatan mereka, kerana bimbang akan dituduh menimbul kekecohan, dan melanggar perlembagaan. Atau lebih buruk lagi, dikecam sebagai kafir yang ingin memecah-belahkan umat Islam.

Christian Federation of Malaysia (CFM) telah mengambil satu langkah berani dengan membawa isu perpaduan kaum ke dalam agenda mereka. Namun, mereka belum lagi berani untuk melihat masalah ini dengan lebih dalam, iaitu permasalahan keadaan yang tidak membenarkan pertukaran idea secara terbuka. Memang wajar mereka berhati-hati, kerana hak bebas yang mereka punyai untuk menyuarakan ketidakpuasan mereka akan ditarik balik dengan sepantas kilat sekiranya mereka dilihat sebagai ‘melanggar batasan’. Banyak lagi kumpulan Kristian yang tidak terlibat dengan CFM kerena bukan semua mazhab mahupun kumpulan Kristian di negara Malaysia mengambil sikap terbuka untuk terlibat dengan hal-hal yang dilihat sebagai di luar lingkungan aktiviti ‘keagamaan’ mereka, disebabkan oleh pelbagai perkara dari perbezaan tafsiran hingga kepada keengganan terlibat dalam apa yang dilihat sebagai ‘politik luar’. Suara mereka terbenam, dan tidak kedengaran.

Cadangan Maximus Ongkili untuk mengadakan kursus sensitasi terhadap pluralitas dalam agama patut dimulakan dari peringkat sekolah. Disebabkan oleh kepelbagaian dan kompleksiti dalam satu-satu agama, memang sukar untuk mendalaminya dalam kelas-kelas pengajiaan agama di sekolah (dan pengajian agama yang saya maksudkan di sini bukan tertakluk kepada pengajiaan agama Islam seperti yang dilaksanakan sekarang). Kenapa kita harus membuang duit para pembayar cukai dengan usaha mengadakan kelas Islam untuk pelajar-pelajar Islam dan kelas Moral untuk pelajar-pelajar bukan Islam, yang hanya merenggangkan hubungan sesama pelajar-pelajar?

Bukankah lebih baik diadakan kelas keagamaan untuk mereka dari pelbagai kaum, dengan pengajian secara expansive, dan bukan mendalam (ini boleh dilakukan kemudian, oleh individu tertentu yang mempunyai minat), tentang kesemua agama utama (dan minor) di dunia? Ini bukan cadangan radikal baru tetapi telah mula dipraktikkan di beberapa negara Eropah untuk mengatasi ketegangan keagamaan. Pada pendapat saya, pihak berkuasa tidak seharusnya terasa kewibawaan agama Islam sebagai agama rasmi akan tergugat, kerana terdapat pelbagai cara lagi untuk pelajar-pelajar Islam untuk mendapat pendidikan keagamaan mereka. Ini boleh dilakukan luar waktu sekolah biasa. Ini bukan saja akan menbina perpaduan yang sebenarnya, tetapi akan membina keprihatinan terhadap kepercayaan orang lain dari usia muda lagi. Duit juga dapat dijimatkan dengan menumpukan kemudahan dengan lebih berkesan. Dan bangsa yang dibina di negara ini akan jauh lebih bertamadun dan maju lagi.

Sikap tidak ikhlas kerajaan dan pihak-pihak berkuasa terhadap penganut-penganut agama lain jelas dilihat dari pengharaman beberapa buku bersifat keagamaan, termasuk Kitab Injil dalam bahasa-Iban, bahasa ibunda penganut Kristian bumiputera Sarawak. Ini telah berlaku pada tahun 2003, dan hanya dengan bantahan nyaring dari komuniti ini yang menyebabkan pengharaman itu ditarik semula. Pengharaman ini adalah tindakan dungu yang meremehkan peruntukan yang telah digariskan dalam Bahagian II, Artikel 11, Perlembagaan Malaysia, iaitu, Hak Kebebasan Asas, yang membenarkan penganut-penganut agama lain, termasuk Kristian, untuk mempraktik rukun-rukun agama mereka tanpa diganggu.

Namun, tidak boleh dikatakan bahawa perlembagaan tiada kelemahannya.
Sebagai contoh, dalam fasal 4 perkara 11 yang sama, penganut-penganut agama lain disebut tidak boleh menjalankan aktiviti dakwah terhadap penganut-penganut agama Islam. Kalau dikatakan aktiviti dakwah dengan cara cuba memaksa atau menekan seseorang penganut agama lain untuk keluar dari agama asalnya dan menganut agama lain, itu sememangnya tidak patut. Tetapi kalau umat Islam itu sendiri berminat untuk mengenali lebih lanjut tentang agama lain, yang tidak semestinya menjadikan mereka murtad, ini harus diterima dengan baik. Tiada sesiapa yang dapat memelihara keimanan seseorang individu melainkan individu tersebut. Apa yang boleh dibuat orang lain hanya memberi ingatan dan nasihat. Kalau wujudnya klausa dalam perlembagaan itu adalah disebabkan ketidakpercayaan kerajaan terhadap kebolehan dan keimanan ummah Islam di Malaysia, bukankah ini bermaksud bahawa penganut agama Islam, yang kebanyakannya telah berpuluh-puluh, kalaupun tidak beratus-ratus, generasi yang beragama Islam belum lagi cukup matang untuk menentukan hubungan mereka dengan Allah? Adalah ironis bahawa pembangunan Islam yang ingin digerakkan JAKIM mengandungi unsur tersirat yang memperkecilkan kebolehan ummah Islam Melayu Malaysia untuk berdikari.

Harus diakui bahawa agama dengan sendirinya tidak menjadi pemisah atau jurang sesama manusia, sebaliknya cara umat dalam agama tersebut berperangai. Selagi tiada langkah untuk mengakui kewujudan persoalan-persoalan ini, dan gerakan ke arah mendepaninya, kita akan terus hidup dalam zaman gelap perpaduan.

No comments: